Prinsip Asas Sistem Ekonomi Islam

ekonomi islam
Zona Ekonomi Islam–Berbicara tentang sistem ekonomi, lazimnya kefahaman akan jelas terarah kepada konsep asas ekonomi iaitu penawaran dan permintaan. Penawaran yang melebihi permintaan menyebabkan harga barangan jatuh sebaliknya jika permintaan melebihi penawaran, keuntungan pasti dapat dicapai dengan harga barangan yang tinggi.

Perkaitan antara penawaran dan permintaan ini bergantung kepada nilai matawang sesebuah negara tidak kira samada ia dalam bentuk Ringgit Malaysia, Dolar Amerika mahupun Riyal Saudi.

Secara ringkasnya ekonomi adalah aktiviti manusia yang terlibat dengan barangan, buruh, pekerjaan dan pertukaran barangan melalui import dan eksport.

Ekonomi sebenarnya bukan setakat kejayaan dalam bentuk perdagangan import dan eksport, jual beli secara konvensional atau pun sistem barter yang diamalkan oleh tamadun awal manusia. Ekonomi adalah satu sistem yang menyeluruh merangkumi soal kebijaksanaan, etika dan prinsip tertentu untuk menjana ketamadunan manusia dan kekukuhan ekonomi sesebuah negara.

Prinsip asas sistem ekonomi Islam adalah unik berbanding sistem ekonomi lain waima sistem ekonomi British yang diagung-agungkan oleh Barat. Adam Smith, ahli ekonomi Barat pada abad ke-18 menegaskan prinsip asas ekonomi Barat seperti berikut: hak harta persendirian, kuasa individu seperti pemerintah atau raja (pemonopoli mata wang), keyakinan, rasional dan keadaan ekonomi itu sendiri.

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya Ulumuddin” mentakrifkan ekonomi sebagai `Iqtisad`. Sementara itu, As-Sadr mengulas mengenai `Iqtisad` dengan meletakkan tiga prinsip asas yang digabung jalin secara teoritikal dan praktikal dalam sistem ekonomi Islam. Prinsip-prinsip itu adalah prinsip pemilikan harta bersandarkan bahawa semua harta adalah kepunyaan Allah, prinsip keadilan sosial dan prinsip kebebasan berekonomi dengan batasan tertentu (mengikut syariah Islamiah).

Allah berfirman yang bermaksud:
“Kepunyaan Allah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati atau kamu sembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendakiNya dan menyiksa siapa yang dikehendakiNya. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 284)

Firman-Nya lagi :
“Kerajaan Allah segala apa yang ada dilangit dan di bumi. Dan Allah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.” (Surah ali-Imran:189)

Jelas di sini, bahawa Islam meletakkan umat manusia sebagai pengurus, pelaksana segala apa yang diwujudkan oleh Allah di atas muka bumi ini sebagai khalifah. Justeru, dalam ekonomi Islam, pelaku ekonomi adalah khalifah yang memakmurkan, menjana segala sumber alam dalam proses mentadbir jagat raya ini. Ini bermakna manusia bertanggungjawab secara langsung terhadap Allah kerana sumber ekonomi manusia datangnya daripada Allah yang memiliki alam ini.

Oleh yang demikian, tugas pemakmuran ekonomi ini dipertanggungjawabkan kepada pemerintah dan individu itu sendiri bertunjangkan prinsip syariah Islamiah. Soal halal-haram termaktub dalam prinsip ekonomi berlandaskan Islam ini.

Komponen kedua sistem ekonomi Islam adalah prinsip keadilan sosial. Ia boleh dianggap sebagai yang terpenting kerana ekonomi Islam tidak berkonsepkan monopoli hak sehingga menindas pihak lain. Imejan keadilan sosial ini disulami dengan dua tunjang iaitu tanggungjawab secara umum dan keseimbangan sosial masyarakat.

Tabatebaei, seorang penganalisis ekonomi Islam berpendapat, tanggungjawab secara umum itu disimpulkan kepada berpegang kepada tali Allah. Konsep mentauhidkan Allah membantu kecemerlangan ummah khususnya dalam mengurus, menjana dan meningkatkan ekonomi masyarakat. Sebagai umat Islam, wajib untuk mempercayai adanya akhirat. Oleh itu, demi mendapat sejahteraan di alam akhirat kelak, pengurusan ekonomi khususnya dan pekerjaan lain amnya harus dilakukan sebaik mungkin dengan penuh rasa ikhlas, tawadduk dan sempurna tanpa meninggalkan perkara wajib yang dianjurkan oleh Allah dan Rasul.

Sementera itu, keseimbangan sosial yang digariskan dalam sistem ekonomi Islam adalah soal perkara-perkara asas dalam hubungan sesama manusia. Berzakat dan mengelakkan perbuatan riba adalah sesuatu yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Dalam ertikata lain, zakat adalah ‘penyucian harta’ setelah cukup nisab dan khaulnya kerana terdapatnya hak kumpulan fakir miskin yang wajib dibantu. Prinsip asasnya di sini adalah Islam tidak menggalakkan kecemburuan sosial dan jurang ekonomi yang luas antara golongan miskin dan kaya.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang yang miskin, pengurus-pengurus zakat (amil), para mualaf (golongan baru memeluk Islam), untuk budak (memerdekakan), orang yang berhutang di jalan Allah dan musafir yang sedang dalam perjalanan sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan oleh Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah: 90)

Begitu juga dengan riba. Islam melarang umatnya mengamalkan riba (bunga yang tinggi) kerana ia jelas menindas orang lain terutama mereka yang kurang berkemampuan. Secara logiknya, mengenakan riba ke atas sesuatu barangan memang menguntungkan para peniaga.

Namun dari satu sudut, riba boleh menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekonomi. Kuasa beli pengguna akan semakin mengecil dan nilai matawang juga akan merosot. Sekiranya keadaan ini berlaku, ekonomi akan menjadi tidak menentu.

Soal halal-haram begini dan impaknya ke atas pihak lain, tidak pernah ada dalam kamus ekonomi Barat. Apa yang dipentingkan adalah sistem ekonomi yang dilaksanakan itu dapat memberikan keuntungan kepada pelaku ekonomi. Dalam artikata lain ‘matlamat menghalalkan cara’ tidak kira walau apa pun sistem yang dilaksanakan, keuntungan tetap menjadi isu utama bukannya soal keadilan sosial sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

Umat Islam seharusnya bersyukur dengan wujudnya satu sistem ekonomi Islam yang benar-benar mapan ke arah merealisasikan ummah yang cemerlang daripada aspek sahsiah, jasmani, emosi, rohani dan ekonominya.

Oleh: ROSMAN MD SHAH

Sumber : eramuslim.net

2 comments on “Prinsip Asas Sistem Ekonomi Islam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Loading Facebook Comments ...